Bermula maghrib esok 28 Nov 2012, Bulan akan memasuki ke dalam bayang-bayang Bumi. Fenomena ini dikenali sebagai gerhana bulan. Namun begitu, gerhana yang berlaku esok dikenali secara spesifik sebagai gerhana bulan penumbra (Penumbral Lunar Eclipse).
Bagaimana gerhana bulan berlaku?
Gerhana bulan berlaku apabila Bulan memasuki ke dalam kawasan bayang-bayang Bumi di angkasa. Bayang-bayang ini berada berlawanan arah daripada matahari. Oleh kerana itu, gerhana bulan hanya akan berlaku ketika Bulan purnama. (Rujuk gambarajah di bawah. Credit Fred Espenak)
Kenapa ia digelar gerhana bulan penumbra?
Bayang-bayang bumi mempunyai 2 bahagian. Jika kita lihat dalam gambarajah di atas, bulatan merah di tengah itu dinamakan kawasan bayang-bayang umbra, manakala bulatan kelabu di sekelilingnya digelar bayang-bayang penumbra.
Secara amnya, bayang-bayang umbra jauh lebih gelap berbanding dengan penumbra.
Apa 3 bulatan yang berada di bawah bulatan merah umbra dalam gambarajah itu?
3 bulatan itu menunjukkan laluan bulan sepanjang fenomena gerhana ini. Bulan akan mula memasuki kawasan bayang-bayang penumbra pada jam 8:14 PM Waktu Malaysia. Kemudian ia akan berada di kawasan paling hampir dengan umbra pada jam 10:33 PM Waktu Malaysia, dan mula keluar dari penumbra pada jam 12:51 tengah malam Waktu Malaysia.
Keseluruhan proses gerhana ini akan berlaku selama 4 jam 36 minit 5 saat.
Bolehkah saya lihat gerhana ini dengan mudah?
Selalunya gerhana bulan penumbra tidak begitu menarik kerana perbezaan tone bayang-bayang bumi di kawasan penumbra itu tidak ketara untuk dikesan dengan mata.
Namun begitu untuk kali ini, laluan Bulan akan membawanya berada amat hampir dengan sempadan bayang-bayang umbra. Maka kita mungkin akan dapat lihat sedikit shading gelap pada satu sudut permukaan bulan (untuk lebih spesifik, sudut yang menghadap kawasan utara).
Foto dibawah (credit Fred Espenak) merupakan foto gerhana bulan penumbra yang pernah berlaku sebelum ini.
Adakah bulan akan bertukar menjadi warna merah?
Tidak. Bagi fenomena gerhana bulan penumbra ini, bulan TIDAK AKAN berubah warna seperti yang berlaku ketika gerhana bulan penuh.
Agak-agak jam berapakah kita boleh lihat shading tersebut?
Lebih kurang antara jam 10 PM hingga 11 PM nanti. Namun ini semua bergantung juga kepada keadaan cuaca pada malam tersebut. Jika berawan, ia mungkin akan menyukarkan kita melihat perbezaan shading tadi.
Saya tidak mempunyai teleskop atau binokular, bolehkah saya melihat fenomena ini?
Boleh! Fenomena gerhana bulan penumbra ini boleh dilihat dengan mata dan tidak perlu (tidak wajib) menggunakan sebarang peralatan astronomi. Namun begitu, jika anda berpeluang melihatnya menerusi teleskop atau binokular, mungkin anda akan dapat lihat dengan lebih jelas kesan shading tersebut.
Bolehkah saya mengikuti sebarang program cerapan gerhana bulan ini esok?
Boleh je. Jika anda berada di Kuala Lumpur, saya cadangkan anda pergi ke Planetarium Negara kerana di sana akan diadakan cerapan rasmi fenomena gerhana bulan penumbra ini. Sila lihat SINI untuk maklumat lanjut.
Jika di kawasan lain, bolehlah hubungi kelab atau persatuan berdekatan untuk maklumat lanjut.
Di manakah saya boleh mendapatkan maklumat lebih teknikal berkenaan fenomena ini?
Sila ke SINI untuk memuat turun maklumat lebih terperinci.
No comments:
Post a Comment